Elakkan Waris Bergaduh! 6 Fakta Kenapa Perlu Buat Hibah Rumah

hibah-rumah

Anda memiliki rumah? Pernah terfikir apa akan jadi jika anda meninggal dunia pada rumah tersebut dalam pembahagian faraid? Jika tidak, anda kena ambil tahu dan fahamkan pasal hibah rumah ni.

Teruskan membaca, saya sediakan 6 fakta berkenaah hibah rumah. Dan saya yakin anda akan rasa tak senang duduk dan ingin terus bertindak.

1. Kenapa Hibah Rumah?

Rumah merupakan aset yang mempunyai nilai yang tinggi. Bagi mengelakkan rumah menjadi perebutan dikalangan waris-waris lain, langkah terbaik adalah dengan menghibahkan rumah kepada orang yang kita sayang.

Sekiranya rumah atas 2 nama dan tiba-tiba berlaku perceraian, ianya akan lebih merumitkan apabila hendak membuat tuntutan harta sepencarian. Sebaiknya buat hibah ketika keluarga masih bahagia dan pemilik harta masih sihat.

2. Apa Yang Akan Berlaku Sekiranya Rumah Tidak Dihibahkan?

Rumah adalah harta tak alih dan dari segi fizikalnya ianya susah untuk dibahagi-bahagikan kepada waris lain berbanding harta alih seperti duit. Apabila berlaku kematian dan rumah tidak dihibahkan, rumah tersebut perlu dibahagikan mengikut hukum faraid. Setiap individu itu mempunyai struktur faraid yang berbeza.

Sebagai contoh, Ali Chan seorang mualaf dan meninggalkan:

  1. Ibu (Bukan Islam)
  2. Ayah (Bukan Islam)
  3. Isteri

Bahagian waris faraid Ali adalah:

  1. Isteri 1/4
  2. Baitulmal 3/4

Namun begitu, isteri boleh mohon harta sepencarian sekiranya ada sumbangan terhadap rumah tersebut.

 

3. Bolehkah Rumah Yang Masih Dalam Pinjaman Dihibahkan?

Boleh. Perlu buat hibah bersyarat.

Walaubagaimanapun, hibah bersyarat dapat dilaksanakan jika pinjaman tersebut dilindungi takaful / insuran atau adanya jaminan dari penerima hibah untuk melangsaikan hutang rumah sekiranya ada lagi baki pinjaman.

Sebaiknya semak semula takaful gadai janji supaya baki pinjaman rumah dapat dilunaskan sepenuhnya oleh Syarikat Takaful dan waris tidak terbeban dengan hutang rumah tersebut.

4. Bagaimana Sekiranya Berlaku Kematian Jika Rumah Yang Mempunyai 2 Nama?

Jika dalam Perjanjian jual beli rumah terdapat 2 nama, pemilikan rumah adalah sama rata. Iaitu bahagian suami 50% dan isteri adalah 50%.

Sebagai contoh suami meninggal dunia, rumah tersebut bukan milik isteri sepenuhnya.

Ini adalah kerana bahagian 50% suami perlu dibahagikan mengikut faraid.

 

5. Buat Hibah Rumah Antara Satu Sama Lain.

Solusi ini adalah untuk yang ada rumah yang mempunyai 2 nama.

Suami dan isteri perlu membuat dokumen pengisytiharaan hibah. Iaitu suami hibah rumah kepada isteri dan isteri hibahkan rumah kepada suami.

Hal ini bagi mengelakkan daripada berlaku persengketaan dikalangan waris jika ada perebutan harta dikemudian hari.

6. Apa Akan Terjadi Jika Pemilik Harta Tidak Buat Apa-apa Perancangan Harta?

Satu rahmat sekiranya ada muafakat dikalangan waris-waris. Namun begitu jika tiada muafakat, pembahagian perlu dibuat mengikut hukum faraid. Lebih perit lagi, apabila rumah yang menjadi tempat isteri dan anak-anak berteduh terpaksa dijual.

Anda sebagai pemilik harta perlu membuat keputusan sebaiknya dan fahami kepentingan apa itu hibah.

Keputusan anda adalah penentu masa depan orang-orang tersayang. Mengapa perlu ambil risiko sekiranya anda boleh mengubahnya sekarang. ‘Rancang Mengikut Syariat. Keluarga Mendapat Berkat.’

©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI. Mohon buat laporan kepada admin jika ada yang menggunakan penulisan PUAN UMI untuk kegunaan peribadi di mana-mana blog, website, page atau Facebook profile selain PUAN UMI. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.

Leave a Replay

Maklumat Syarikat

Alamat syarikat

Kausar Global Group Sdn Bhd
202101000063 (1400361-M)

211-1B Jalan Haruan 5/6
Pusat Komersial Oakland 2
70300 Seremban Negeri Sembilan

Waktu perniagaan

9.00 am – 6.00 pm
(Isnin – Jumaat)

Copyright 2022. All right reserved. Powered by Sesawang.Co

Tempah Temujanji Konsultasi

Pak Abu (bukan nama sebenar) seorang hartawan kampung di Kampung Majujaya.

Beliau mempunyai 4 orang isteri.

Pak Abu berkahwin dengan isteri pertama pada tahun 1990. Selama 10 tahun berkahwin dengan isteri pertama, mereka tidak dikurniakan cahayamata. Pada ulangtahun perkahwinan yang ke 10, Pak Abu dan isteri bersetuju mengambil anak angkat lelaki yang hanya berusia 2 hari. Isteri Pak Abu menyusukan sendiri bayi lelaki tersebut selama 2 tahun. Kasih sayang Pak Abu dan isteri tidak berbelah bagi kepada anak angkat walaupun dikurniakan 2 orang cahayamata perempuan selepas itu.

Pada Mac 2010, isteri Pak Abu meninggal dunia. Tahun yang sama bulan June Pak Abu berkahwin dengan seorang janda 4 anak. 2011, Pak Abu dikurniakan kembar lelaki. Maka bertambah meriah keluarga Pak Abu.

Tahun 2014, secara diam-diam Pak Abu bernikah di sempadan kerana telah jatuh cinta dengan seorang gadis dari Utara Semenanjung. Gadis tersebut telah berkerja dengan Pak Abu selama 2 tahun. Namun perkahwinan ini tidak dikurniakan cahayamata.

Akibat tidak tahan dengan sikap 2 orang isteri yang sering bergaduh, Pak Abu berkahwin lagi. Kali ini dengan sepupu Pak Abu sendiri. Hasil dari perkahwinan ini Pak Abu mendapat seorang cahayamata perempuan.

Tahun 2018, Pak Abu  telah menceraikan isteri yang dikahwini pada tahun 2014. Puncanya kerana tiada sefahaman hidup. Lagipun bekas isteri Pak Abu masih dalam lingkungan 20an dan masih mengejar keseronokan hidup. Sedangkan usia Pak Abu sendiri hampir mencecah 60 tahun.

Tapi ada satu sikap Pak Abu yang patut dicontohi oleh semua orang. Pak Abu sangat menghormati ibunya. Biarpun ibunya telah nyanyuk kerana telah berusia 95 tahun, Pak Abu masih menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang.

Mungkin inilah rahsia murah rezeki Pak Abu. Seorang anak yang sangat memuliakan ibunya yang uzur.

Pak Abu juga sering membantu adik beradiknya yang seramai 12 orang yang kesemuanya lelaki. Ini menyebabkan hubungan mereka sangat erat dan saling hormat menghormati.

Tahun 2019, Pak Abu meninggal dunia akibat sesak nafas dan yang paling menyedihkan ibu Pak Abu pula menyusul 3 hari selepas itu.

Sewaktu hidup Pak Abu ada meninggalkan wasiat untuk diberi kepada anak-anak dan isterinya.

Namun wasiat itu ditentang oleh adik beradik Pak Abu kerana menyatakan  tiada wasiat kepada ahli waris.

Masing-masing mula mengatakan bahawa mereka berhak terhadap harta Pak Abu.

Pergaduhan mula terjadi.

Siapakah waris faraid Pak Abu yang sebenarnya dan bagaimana agar mereka semua berhenti bersengketa dan kembali hidup bahagia?

Solusi

Ingat lagi kisah Pak Abu, seorang hartawan Kampung Majujaya yang mempunyai 4 orang isteri.

Arwah dulu sangat baik orangnya dan sangat menghormati ibunya.

Ditakdirkan pada tahun 2019, Pak Abu telah meninggal dunia dan ibunya juga menyusul 3 hari selepas pemergiannya.

Selepas Pak Abu pergi, terdapat persengketaan dalam keluarga arwah bahkan wasiat yang telah dibuat juga tidak mendapat persetujuan daripada ahli waris.

Persoalannya siapa sebenarnya yang layak mewarisi pusaka Pak Abu?

Contohnya, Pak Abu mempunyai harta berjumlah RM 7 juta merangkumi rumah, kenderaan, ladang kelapa sawit, saham syarikat, dan harta-harta yang lain.

Waris yang layak terhadap harta arwah akan dapat bahagian seperti berikut:

Waris

Bahagian

Ibu

56/336 (RM 1,166,666.67)

Isteri 2

21/336 (RM 437,500.00)

Isteri 4

21/336 (RM 437,500.00)

Anak lelaki 1

68/336 (RM 1,416,666.67)

Anak lelaki 2

68/336 (RM 1,416,666.67)

Anak perempuan 1

34/336 (RM 708,333.33)

Anak perempuan 2

34/336 (RM 708,333.33)

Anak perempuan 3

34/336 (RM 708,333.33)

Memandangkan ibu Pak abu telah meninggal dunia 3 hari selepas pemergiannya, bahagian ibu layak diwarisi oleh adik-beradik kandung Pak Abu. Bahagian ibu dibahagikan secara sama rata kepada 12 adik-beradik lelakinya.

Bagaimana pula dengan ahli keluarga Pak Abu yang lain?

  1. Dalam kes ini, isteri pertama telah meninggal dunia lebih dulu daripada Pak Abu, maka isteri pertama tidak layak mewarisi pusaka arwah, manakala isteri ketiga pula telah diceraikan pada 2018 dan perceraian tersebut telah menghalang isteri ketiga daripada mewaris pusaka arwah.
  2. Pak Abu dan isteri pertama juga telah mengambil anak angkat pada tahun 2000 tetapi dalam pewarisan anak angkat tidak layak mewarisi pusaka yang Pak Abu tinggalkan walaupun isterinya telah menyusukan anak tersebut. Ini kerana pewarisan hanya berlaku disebabkan oleh keturunan/nasab, perkahwinan, Agama Islam dan perhambaan. Anak angkat tidak termasuk dalam salah satu daripada sebab tersebut dan tidak layak menerima pusaka Pak Abu. Pak Abu juga mempunyai 4 orang anak tiri semasa berkahwin dengan isteri kedua. Namun dalam pewarisan anak tiri juga tidak dikira sebagai waris faraid dan tidak layak mewarisi pusaka yang Pak Abu tinggalkan.
  3. Semasa hidup, Pak Abu telah mewasiatkan hartanya kepada isteri-isteri dan anak-anak. Menurut hukum syarak, tiada wasiat kepada waris dan sekiranya tetap ingin mewasiatkan harta tersebut perlulah dapatkan persetujuan ahli-ahli waris. Wasiat tersebut telah mendapat tentangan daripada adik-beradik Pak Abu maka wasiat yang dibuat juga terbatal. Kalau ada wasiat untuk anak angkat atau anak-anak tiri, wasiat boleh dilaksana tetapi hanya terhad 1/3 daripada harta pusaka Pak Abu. Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah pusaka Pak Abu seperti dalam kes ini, kaedah yang terbaik adalah dengan mengikut kaedah pembahagian faraid seperti yang telah ditetapkan dalam hukum.
 

Ini hanyalah cerita pembahagian harta Pak Abu. Belum masuk lagi cerita proses undang-undang yang perlu dilalui oleh waris-waris Pak Abu.

Dalam undang-undang di Malaysia, langkah pertama untuk menguruskan pusaka adalah dengan mendapatkan surat kuasa mentadbir. Seterusnya waris perlu melalui proses pentadbiran dan yang terakhir barulah pembahagian.