Isteri Kena Halau, Hati-hati Beli Rumah Kongsi Nama!

apa-itu-hibah

Ramai pasangan yang telah berkahwin mengambil keputusan untuk beli rumah kongsi nama khususnya pasangan yang berpendapatan sederhana.  Ini bertujuan untuk kuatkan loan di bank disamping proses pinjaman perumahan hari ini yang agak ketat.

Namun ramai yang tidak sedar, masalah akan timbul apabila beli rumah kongsi nama, lebih-lebih lagi apabila pasangan kurang arif tentang pembahagian faraid dan apa itu hibah sebenarnya.

Tidak kurang juga ramai antara pasangan ini berfikir bahawa rumah secara  automatik akan menjadi milik mereka apabila salah seorang pasangan meninggal dunia.

Tapi hakikatnya ia tidaklah begitu. Kebanyakkan pasangan tidak membuat apa-apa persediaan sebelum kematian sehingga menyebabkan rumah terpaksa dijual selepas kematian pasangan.

Sedih tak?

Rumah yang dibeli susah payah. Bahkan ada pasangan kekadang terpaksa ikat perut untuk bayar deposit dan bayaran bulanan. Nak lulus pinjaman pun susah, sampai terpaksa loan pun berkongsi nama. Tahu-tahu bila pasangan meninggal dunia, rumah terpaksa dijual.

Kenapa rumah terpaksa dijual?

 

Pembahagian Faraid Beli Rumah Kongsi Nama

Katakan anda beli rumah bersama pasangan. Sebenarnya daripada segi pemilikan 50% bahagian adalah milik anda, 50% lagi tu adalah milik pasangan anda. Apabila pasangan anda meninggal dunia, 50% pemilikan pasangan tu perlu diagihkan mengikut pembahagian faraid kepada waris-waris si mati.

Waris simati mungkin terdiri daripada ibubapa, isteri atau suami, anak lelaki dan anak perempan atau mungkin adik-beradik.

Nampak tak?

Sangkaan anda bahawa rumah boleh dipindah milik kepada anda secara automatik tak boleh berlaku semudah itu sahaja.

beli-rumah-kongsi-nama

MRTT/MRTA Alat Yang Memudahkan Pembahagian Faraid Rumah

Bagi pasangan yang ada sedikit pemahaman tentang pembahagian faraid, biasanya akan ambil MRTT/MRTA sekali semasa permohonan pembiayaan beli rumah kongsi nama. Jika anda tergolong dari kelompok ni, tahniah! Anda sudah memudahkan langkah awal. Ini kerana syarat penukaran milik hartanah atau aset adalah perlu bebas hutang terlebih dahulu.

Dengan ada nya MRTT/MRTA bagi masing-masing suami isteri, apabila berlaku kematian kepada salah seorang, MRTT/MRTA tadi akan langsaikan baki hutang bahagian arwah. Tapi ingat, hibah takaful atau MRTT yang anda ambil, tu tak boleh selesaikan 100% pembahagian faraid si mati.

Kita ambil contoh pembahagian faraid jika suami meninggal dunia meninggalkan ibu, ayah, isteri, dan 1 orang anak lelaki. Katakan rumah bernilai RM400,000 (tidak ambil kira kenaikan harga pasaran hartanah), maknanya bahagian suami bernilai RM200,000 tu telah bebas hutang menggunakan MRTT/MRTA dan boleh teruskan untuk pembahagian faraid.

Berikut adalah kiraan pembahagian faraid si suami:

  • Ibu (1/6) : RM 33,333
  • Ayah (1/6) : RM 33,333
  • Isteri (1/8) : RM 25,000
  • Anak L (Asabah) : RM 108,333

Berdasarkan kiraan pembahagian faraid di atas, ibubapa kepada arwah suami juga boleh menuntut bahagian faraid mereka. Ibu bapa mertua kita boleh memilih untuk letak nama dalam geran rumah. Jika ini berlaku, susah sebenarnya. Daripada kongsi dua nama sahaja, jadi lagi banyak nama pemilik. Kan dah jadi lebih rumit tu.

Bayangkan kalau ayah dan ibu mertua pula meninggal dunia, tak pasal-pasal adik beradik suami atau waris arwah mertua yang layak pulak ada hak dalam geran rumah anda tu. Daripada satu lapis je waris, dah jadi berlapis-lapis. Makin rumit, makin susahlah nak selesaikan. Itulah puncanya ramai yang tak nak selesaikan harta pusaka sebab proses dah semakin rumit dan makan kos yang sangat tinggi!

Dapat waris yang baik dan memahami tu boleh tahan lagi.

Bayangkan kalau dapat waris jenis puaka, waktu arwah sakit tak menjenguk. Tapi bila tahu dia ada hak dalam harta pusaka, baru nampak batang hidung.

Jenis waris macam ni biasanya tak ingin sangat pun nak letak nama dalam geran rumah, yang mereka mahukan adalah duit. Jadi mereka akan desak untuk tebus hak mereka dalam bentuk wang tunai.

Macam dalam pengiraan tadi sebanyak RM66,666 perlu ditebus untuk selesaikan pembahagian faraid rumah. Ini baru kita kira ikut harga asal hartanah, kalau nilai hartanah dah semakin meningkat lagi tinggilah nilai wang yang perlu ditebus.

Soalannya kita ada ke wang sebanyak itu?

Mungkin ada yang nak lawan dengan hujah buatlah tuntutan harta sepencarian.

Ya, betul tu.

Tapi ia tidak semudah yang kita disangkakan. Untuk tuntut sebagai harta sepencarian, perlu buka kes di Mahkamah Syariah, perlukan kos guaman, perlu bukti-bukti seperti:

  • Resit bayaran bulanan
  • Resit renovation (jika ada)
  • Resit yang berkaitan dengan perbelanjaan bekaitan rumah tersebut

Realitinya, untuk bentangkan bukti yang kukuh dan menang dalam kes ni tidaklah semudah ABC. Lebih-lebih lagi jarang sangat orang kita nak simpan resit-resit ni sebab memang tak bersedia pun untuk hadapi perkara ni.

Maka jalan terakhir adalah pasangan yang masih hidup terpaksa jual rumah tersebut. Hasil jualan baru diagihkan mengikut pembahagian faraid.

Ikhtiar Solusi Pembahagian Faraid Beli Rumah Kongsi Nama

Jangan risau. Dengan kemudahan yang ada hari ni, kita boleh akses ilmu pembahagian faraid dengan lebih mudah.

Segala kemudahan ini turut membantu kita mendapatkan jalan penyelesaian atau alternatif untuk selesaikan hal ini dengan lebih tepat contohnya melalui dokumen pengisytiharan hibah.

Ya, dengan dokumen ini, suami dah siap-siap isytihar bahagiannya dihibahkan buat isteri. Begitu juga sebaliknya.

Bila dah hibah siap-siap semasa hidup, maka bahagian rumah suami tadi terkeluar daripada faraid. Dapatlah elak semua risiko di atas tadi.

Walaupun rumah masih dalam hutang, jangan risau anda juga boleh hibahkan rumah tersebut. Nanti saya kongsi bagaimana nak hibah rumah dalam cagaran Bank.

Walaubagaimanapun, ingin saya tekankan bahawa ini tak bermaka hibah itu lebih baik daripada faraid.

Wasiat, faraid dan hibah, masing-masing ada peranannya tersendiri. Bila kita faham betul-betul, kita akan nampak harmoninya hukum Islam dalam memelihara hak-hak Muslim, terutama sekali dalam kes seperti beli rumah kongsi nama ni.

Indah kan?

Kalau nak pastikan bahagian rumah suami jadi milik kita selepas suami tiada nanti boleh dapatkan khidmat kami dengan klik gambar dibawah.

 

©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI. Mohon buat laporan kepada admin jika ada yang menggunakan penulisan PUAN UMI untuk kegunaan peribadi di mana-mana blog, website, page atau Facebook profile selain PUAN UMI. Sila tekan butang share jika mahu berkongsi penulisan ini.

Leave a Replay

Maklumat Syarikat

Alamat syarikat

Kausar Global Group Sdn Bhd
202101000063 (1400361-M)

211-1B Jalan Haruan 5/6
Pusat Komersial Oakland 2
70300 Seremban Negeri Sembilan

Waktu perniagaan

9.00 am – 6.00 pm
(Isnin – Jumaat)

Copyright 2022. All right reserved. Powered by Sesawang.Co

Tempah Temujanji Konsultasi

Pak Abu (bukan nama sebenar) seorang hartawan kampung di Kampung Majujaya.

Beliau mempunyai 4 orang isteri.

Pak Abu berkahwin dengan isteri pertama pada tahun 1990. Selama 10 tahun berkahwin dengan isteri pertama, mereka tidak dikurniakan cahayamata. Pada ulangtahun perkahwinan yang ke 10, Pak Abu dan isteri bersetuju mengambil anak angkat lelaki yang hanya berusia 2 hari. Isteri Pak Abu menyusukan sendiri bayi lelaki tersebut selama 2 tahun. Kasih sayang Pak Abu dan isteri tidak berbelah bagi kepada anak angkat walaupun dikurniakan 2 orang cahayamata perempuan selepas itu.

Pada Mac 2010, isteri Pak Abu meninggal dunia. Tahun yang sama bulan June Pak Abu berkahwin dengan seorang janda 4 anak. 2011, Pak Abu dikurniakan kembar lelaki. Maka bertambah meriah keluarga Pak Abu.

Tahun 2014, secara diam-diam Pak Abu bernikah di sempadan kerana telah jatuh cinta dengan seorang gadis dari Utara Semenanjung. Gadis tersebut telah berkerja dengan Pak Abu selama 2 tahun. Namun perkahwinan ini tidak dikurniakan cahayamata.

Akibat tidak tahan dengan sikap 2 orang isteri yang sering bergaduh, Pak Abu berkahwin lagi. Kali ini dengan sepupu Pak Abu sendiri. Hasil dari perkahwinan ini Pak Abu mendapat seorang cahayamata perempuan.

Tahun 2018, Pak Abu  telah menceraikan isteri yang dikahwini pada tahun 2014. Puncanya kerana tiada sefahaman hidup. Lagipun bekas isteri Pak Abu masih dalam lingkungan 20an dan masih mengejar keseronokan hidup. Sedangkan usia Pak Abu sendiri hampir mencecah 60 tahun.

Tapi ada satu sikap Pak Abu yang patut dicontohi oleh semua orang. Pak Abu sangat menghormati ibunya. Biarpun ibunya telah nyanyuk kerana telah berusia 95 tahun, Pak Abu masih menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang.

Mungkin inilah rahsia murah rezeki Pak Abu. Seorang anak yang sangat memuliakan ibunya yang uzur.

Pak Abu juga sering membantu adik beradiknya yang seramai 12 orang yang kesemuanya lelaki. Ini menyebabkan hubungan mereka sangat erat dan saling hormat menghormati.

Tahun 2019, Pak Abu meninggal dunia akibat sesak nafas dan yang paling menyedihkan ibu Pak Abu pula menyusul 3 hari selepas itu.

Sewaktu hidup Pak Abu ada meninggalkan wasiat untuk diberi kepada anak-anak dan isterinya.

Namun wasiat itu ditentang oleh adik beradik Pak Abu kerana menyatakan  tiada wasiat kepada ahli waris.

Masing-masing mula mengatakan bahawa mereka berhak terhadap harta Pak Abu.

Pergaduhan mula terjadi.

Siapakah waris faraid Pak Abu yang sebenarnya dan bagaimana agar mereka semua berhenti bersengketa dan kembali hidup bahagia?

Solusi

Ingat lagi kisah Pak Abu, seorang hartawan Kampung Majujaya yang mempunyai 4 orang isteri.

Arwah dulu sangat baik orangnya dan sangat menghormati ibunya.

Ditakdirkan pada tahun 2019, Pak Abu telah meninggal dunia dan ibunya juga menyusul 3 hari selepas pemergiannya.

Selepas Pak Abu pergi, terdapat persengketaan dalam keluarga arwah bahkan wasiat yang telah dibuat juga tidak mendapat persetujuan daripada ahli waris.

Persoalannya siapa sebenarnya yang layak mewarisi pusaka Pak Abu?

Contohnya, Pak Abu mempunyai harta berjumlah RM 7 juta merangkumi rumah, kenderaan, ladang kelapa sawit, saham syarikat, dan harta-harta yang lain.

Waris yang layak terhadap harta arwah akan dapat bahagian seperti berikut:

Waris

Bahagian

Ibu

56/336 (RM 1,166,666.67)

Isteri 2

21/336 (RM 437,500.00)

Isteri 4

21/336 (RM 437,500.00)

Anak lelaki 1

68/336 (RM 1,416,666.67)

Anak lelaki 2

68/336 (RM 1,416,666.67)

Anak perempuan 1

34/336 (RM 708,333.33)

Anak perempuan 2

34/336 (RM 708,333.33)

Anak perempuan 3

34/336 (RM 708,333.33)

Memandangkan ibu Pak abu telah meninggal dunia 3 hari selepas pemergiannya, bahagian ibu layak diwarisi oleh adik-beradik kandung Pak Abu. Bahagian ibu dibahagikan secara sama rata kepada 12 adik-beradik lelakinya.

Bagaimana pula dengan ahli keluarga Pak Abu yang lain?

  1. Dalam kes ini, isteri pertama telah meninggal dunia lebih dulu daripada Pak Abu, maka isteri pertama tidak layak mewarisi pusaka arwah, manakala isteri ketiga pula telah diceraikan pada 2018 dan perceraian tersebut telah menghalang isteri ketiga daripada mewaris pusaka arwah.
  2. Pak Abu dan isteri pertama juga telah mengambil anak angkat pada tahun 2000 tetapi dalam pewarisan anak angkat tidak layak mewarisi pusaka yang Pak Abu tinggalkan walaupun isterinya telah menyusukan anak tersebut. Ini kerana pewarisan hanya berlaku disebabkan oleh keturunan/nasab, perkahwinan, Agama Islam dan perhambaan. Anak angkat tidak termasuk dalam salah satu daripada sebab tersebut dan tidak layak menerima pusaka Pak Abu. Pak Abu juga mempunyai 4 orang anak tiri semasa berkahwin dengan isteri kedua. Namun dalam pewarisan anak tiri juga tidak dikira sebagai waris faraid dan tidak layak mewarisi pusaka yang Pak Abu tinggalkan.
  3. Semasa hidup, Pak Abu telah mewasiatkan hartanya kepada isteri-isteri dan anak-anak. Menurut hukum syarak, tiada wasiat kepada waris dan sekiranya tetap ingin mewasiatkan harta tersebut perlulah dapatkan persetujuan ahli-ahli waris. Wasiat tersebut telah mendapat tentangan daripada adik-beradik Pak Abu maka wasiat yang dibuat juga terbatal. Kalau ada wasiat untuk anak angkat atau anak-anak tiri, wasiat boleh dilaksana tetapi hanya terhad 1/3 daripada harta pusaka Pak Abu. Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah pusaka Pak Abu seperti dalam kes ini, kaedah yang terbaik adalah dengan mengikut kaedah pembahagian faraid seperti yang telah ditetapkan dalam hukum.
 

Ini hanyalah cerita pembahagian harta Pak Abu. Belum masuk lagi cerita proses undang-undang yang perlu dilalui oleh waris-waris Pak Abu.

Dalam undang-undang di Malaysia, langkah pertama untuk menguruskan pusaka adalah dengan mendapatkan surat kuasa mentadbir. Seterusnya waris perlu melalui proses pentadbiran dan yang terakhir barulah pembahagian.